Saya pasti ramai yang telah maklum berkenaan penggunaan senjata api oleh orang Melayu dalam sejarah. Bagi anda yang sudah tahu anggaplah artikel ini sebagai ulangkaji sahaja, tetapi bagi yang belum tahu diharap artikel ini sedikit sebanyak dapat memberikan informasi kepada anda berkenaan sejarah penggunaan senjata api oleh orang Melayu. Diharapkan selepas ini janganlah ada lagi pihak yang berkata orang Melayu berperang hanya menggunakan Tombak, Keris dan Parang sahaja.
Dipercayai penggunaan senjata api di Alam Melayu telah bermula sejak zaman Majapahit lagi. Dalam penyerangan armada Kublai Khan ke Jawa, diduga mereka turut membawa sejenis senjata api awal berupa roket. Jenis senjata api ini memang telah digunakan di China terutama pada zaman Dinasti Yuan. Menurut Jawaharlal Nehru dalam bukunya Glimpse of World History, ada keyakinan kuat bahawa ekspedisi tersebut telah membawa pengaruh yang besar terhadap teknologi persenjataan kerajaan Majapahit. Diyakini para pemerintah pada zaman tersebut telah memanfaatkan teknologi senjata api dalam meluaskan pengaruh kerajaan Majapahit.
Selain itu, berdasarkan kepada sumber-sumber Portugis seperti dari Canstanheda, Joao de Barros pada tahun 1562 dan Alfonso de Albuquerque pada tahun 1576, penduduk Melaka sebenanrya telah mempertahankan kota mereka dengan menggunakan senjata api dan bukan hanya dengan tombak, keris, pedang, parang, panah dan sumpit sahaja. Ini adalah fakta.
Seorang bangsa Itali yang terlibat dalam serangan terhadap Melaka pada tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis senjata api yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak ramai di pihak Portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera Melayu berundur, namun mereka digambarkan mempunyai semangat keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.
Catatan pihak Portugis juga menyebut bahawa Melaka mempunyai beribu-ribu senjata api yang terdiri daripada meriam besar dan sejenis senjata api ringan yang menurut pandangan mereka sebagai shoulders arms atau senjata api yang boleh dipikul di bahu. Dalam serangan pertama menurut R. O. Winstedt, sebanyak 50 pucuk Meriam telah dirampas, tetapi Castenheda mencatatkan bahawa sebanyak 78 pucuk Meriam berjaya dirampas semasa meletusnya pertempuran di jambatan Melaka.
Menurut catatan Godinho Eredia, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah senjata api yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Sebanyak 3,000 pucuk meriam besar telah dijumpai di dalam kota Melaka sementara 5,000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang. Albuquerque pula menyebut bahawa terdapat 2,000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi . Faria Y Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8,000 pucuk senjata api yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang.
Daripada buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, ada mencatatkan:
“… Askar-askar telah dibenarkan menjarah kota itu tiga hari lamanya. 3,000 pucuk meriam besar telah dijumpai, dari sejumlah 8,000 pucuk meriam yang diharapkan oleh Sultan Mahmud untuk mempertahankan kota raya baginda itu. Bakinya telah dibawa lari ke Bintang (Bintan)…”
William Marsden dan Stamford Raffles juga pernah mencatatkan bahawa masyarakat di Sumatera dan Jawa telah mahir dalam pembuatan ubat bedil sebelum kedatangan penjajah Eropah iaitu sekurang-kurangnya pada abad ke-14 dengan menggunakan galian saltpeter, belerang dan arang. Teknologi pembuatan ubat bedil yang diusahakan oleh orang Melayu ini berkemungkinan berasal daripada tamadun Islam di Asia Barat ataupun China.
Nicholas Tarling dalam buku The Cambridge History of Southeast Asia ada menyatakan bahawa senjata api buatan Melayu boleh digandingkan dengan senjata api keluaran German yang dianggap terbaik pada kurun ke-15, malahan ianya lebih baik daripada yang dibuat di Portugal.
Para pengembara Portugis pernah mencatatkan bahawa orang Melayu Minangkabau telah pandai menghasilkan meriam sejak para pengembara itu mengelilingi Cape of Good Hope lagi iaitu pada awal abad ke-15. Berkemungkinan senjata api atau Meriam yang dihasilkan dan diguna oleh orang Minangkabau tersebut berasal daripada tamadun Islam di Asia barat atau Afrika Utara seperti Mesir. Meriam juga telah banyak dihasilkan di Terengganu, Johor, Aceh, pulau Jawa, Mindanau dan juga Brunei. Antonio Pigafetta, seorang jurutulis dalam ekspedisi Ferdinand Magellan ada mencatatkan bahawa semasa lawatannya ke Brunei pada tahun 1521, beliau melihat di hadapan Istana Sultan terdapat 56 pucuk meriam tembaga dan enam meriam besi.
Linehan dalam bukunya History of Pahang mengatakan bahawa negeri yang menghasilkan Meriam terbaik ialah Pahang sekitar 1600 Masihi. Eredia turut mencatatkan mengenai penggunaan senjata api oleh masyarakat Melayu. Menurutnya senjata api orang Melayu bukanlah jenis yang berat tetapi kebanyakannya adalah jenis swivel gun atau Lela dan Rentaka. Namun demikian sejak kedatangan Portugis, mereka telah melengkapkan lagi persenjataan dengan senjata api yang lebih besar.
Selain itu, sewaktu berada dibawah pemerintahan Johor, Pahang dikatakan mempunyai simpanan senjata api yang sangat banyak. Adinda kepada Bendahara Abdul Jalil dikatakan mempunyai 1,000 pucuk Meriam tembaga, 2,000 laras senapang dan dua buah gudang besar yang menyimpan senjata api dan peluru serta serbuk bedil.
Selain Melaka dan Johor, Aceh yang kemudiannya menjadi kuasa besar di Selat Melaka turut mempunyai kelengkapan senjata api yang hebat. Semasa Kerajaan Aceh di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Al Qahhar 1538-1571, tentera Aceh telah mendapat latihan kepakaran membuat dan menggunakan meriam dengan bantuan daripada Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Semasa John Davis melawat Aceh menjelang akhir abad ke-16 Masihi, beliau menceritakan bahawa Sultan Aceh ketika itu menyimpan banyak meriam-meriam raksaksa tembaga yang ditempatkan di atas tanah begitu sahaja.
Kenyataan yang sama telah disahkan oleh James Lancester seorang Inggeris yang berada di Aceh pada tahun 1602 Masihi. Menurutnya, Kerajaan Aceh menyimpan banyak meriam-meriam tembaga dan ia tersangat penting sebagai senjata pertahanan. Antara Meriam yang terkenal ialah Meriam Lada Secupak. Hikayat Aceh juga menyatakan tentang satu peristiwa pada tahun 1570, yang menyebut mengenai kelengkapan armada laut kerajaan Aceh, Pedir dan Daya. Dinyatakan bahawa Geliung Diraja atau Ghurab kerajaan-kerajaan ini dilengkapi dengan 10 pucuk meriam, 50 pucuk Lela, 120 cecorong dan beratus-ratus Istinggar.
Secara ringkasnya, diantara jenis-jenis senjata api Melayu adalah Lela, Rentaka dan Ekor Lotong iaitu sejenis meriam kecil yang memang terkenal dikalangan pelaut-pelaut Melayu. Lela Rentaka ini sering diletakkan di kapal-kapal dan perahu perang selain daripada di kota-kota pertahanan. Ianya adalah sejenis meriam kecil mudah alih yang unik di Alam Melayu dan terkenal digunakan di kalangan orang Moro, Sulu dan Brunei.
Selain itu terdapat juga Meriam atau Bedil yang pelbagai saiz dari yang kecil hinggalah yang gergasi seperti Meriam Sri Patani dan Mahalela yang terkenal di Negeri Patani. Melaka juga dicatatkan oleh Portugis mempunyai sebuah meriam gergasi yang kemudiannya dihadiahkan kepada seorang Raja India oleh Portugis. Istinggar, Terakol dan Pemuras pula adalah dari jenis senjata api berupa senapang kancing sumbu atau Matchlock Muskets. Istinggar Melayu zaman Melaka dikatakan telah dirampas oleh Portugis setelah kota itu tumbang dan ada sejarawan yang menyatakan bahawa Istinggar Melaka telah dijual ke Jepun. Pemuras pula adalah sejenis senapang yang popular dikalangan pelaut dan lanun. Begitulah secara ringkas tentang senjata api Melayu.
Namun saya pasti ramai akan menimbulkan persoalan tentang mengapa Melaka boleh kalah dengan begitu mudah walaupun mempunyai banyak senjata api kan? Sesungguhnya persoalan ini tidak mungkin akan terjawab dengan mudah kerana masih banyak kajian yang perlu kita lakukan untuk merungkai peristiwa kekalahan Melaka. Namun apa yang pasti ialah kekalahan Melaka ada kaitannya dengan sabotaj oleh pihak-pihak tertentu termasuk ‘Orang dagang’ malah kelemahan pentadbirannya sendiri. Ditambah lagi dengan keadaan sosial dan politik kerajaan Melaka ketika itu yang bermasalah dan penuh dengan komplot, rasuah, serta gejala sosial yang telah merosakkan masyarakat, pembesar-pembesar dan pemerintah Melaka. Belum lagi disebut tentang pembelotan pihak tertentu dalam Melaka yang sanggup bekerjasama dengan penjajah Portugis.
Sekian, wallah hu a’lam.

Sumber:
• Gibson-hill (1953) “Notes on The Old Cannon Found In Malaya, and Known To Be of Dutch Origin” Journal of the Malayan Brance of the Royal Asiatic Society Vol 26.
• The Journal of Military History, Vol. 67, No. 2, Apr., 2003, Society for Military History.
• A. Samad Ahmad (1994) “Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu” Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
• Muhammad Yusoff Hasyim (1992) “Pensejarahan Melayu” Pencetakan Watan Snd. Bhd, Kuala Lumpur.
• W. Linehan (1973) “History of Pahang” The Malaysian Branch of Royal Asiatic Society, Charles Grenier Snd. Bhd., Kuala Lumpur.
• Raja Ali Haji (1965) “Tuhfat Al-Nafis, Sejarah Melayu dan Bugis” Malaysia Publication Ltd., Singapore.
• Nicholas Tarling (1999) “The Cambridge History of Southeast Asia” Cambridge University Press, United Kingdom.
• A.H.Hill (1998) “The Keris and Other Malay Weapons” Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur.
• V. Mills (translator) (1997) “Eredia’s Description of Malacca, Meridional India and Cathay” Malaysian Branch of Royal Asiatic Society.
• Othman Mohd. Yatim dan Mohd. Zamberi A. Malek (1994) “Meriam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Nusantara” Jabatan Muzium dan Antiquiti, Kuala Lumpur.

megachannelz