bunian2

Penerangan

Orang Bunian dikatakan makhluk alam ghaib yang berbeza daripada jin tetapi wujud di dunia yang sama dengan manusia. Bagaimanapun, seperti Jin, Orang Bunian tidak dapat dilihat manusia sekaligus kewujudannya menjadi misteri yang membingungkan ramai pihak sehingga kini. Sejak puluhan tahun lalu, cerita-cerita mengenai interaksi antara orang bunian dengan manusia sering didengari di kebanyakan tempat. Malah, terdapat juga cerita dan teori kononnya individu tertentu yang hilang dan gagal ditemui, sebenarnya diculik atau tersesat memasuki alam bunian. Cerita-cerita seperti itu pasti membuatkan kita berfikir, sejauh manakah kebenarannya ? Dan apakah makhluk bunian ini sebenarnya ?

Kes

Antara cerita mengenai kewujudan orang dan alam bunian dikatakan berlaku kepada dua pemuda yang memasuki kawasan hutan di Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda itu pada asalnya ingin mencari rotan dalam hutan tersebut tetapi mereka kemudiannya tersesat lalu terpisah antara satu sama lain sehinggalah hari menjelang malam.

Walaubagaimanapun, seorang daripada mereka berjaya menemui jalan keluar dan segera memaklumkan kejadian itu kepada masyarakat kampung. Gerakan mencari kemudiannya segera dilakukan tetapi selepas beberapa hari, jasad pemuda itu masih tidak berjaya dijumpai sehingga menyebabkan ahli keluarga dan penduduk kampung menganggap yang dia mungkin sudah mati akibat dibaham binatang buas. Mereka mula menerima takdir dan meneruskan hidup. Sehinggalah kira-kira setahun kemudian, secara tiba-tiba sahaja pemuda itu muncul di hadapan keluarganya sehingga menyebabkan semua orang terkejut. Malah, pemuda itu turut pulang bersama seorang wanita dan anak kecil sehingga menyebabkan ramai penduduk tertanya-tanya mengenai misteri kehilangannya. Kepada semua pihak yang kebingungan itu, pemuda terbabit kemudian bercerita:

Gelap malam mula menjelma tetapi dia masih belum berjaya menemui jalan keluar pada hari kehilangannya, setahun lalu. Ketika tersesat dan merayau keseorangan di dalam hutan, secara tiba-tiba dia melihat sebuah rumah sama seperti rumah kampung biasa, didalam hutan itu.

Dia disambut pemilik rumah itu yang tidak ubah seperti manusia biasa dan diberikan pertolongan. Semalaman berehat di rumah berkenaan, pemuda itu meminta izin daripada tuan rumah untuk mencari jalan keluar dari hutan itu dan pulang ke kampung halamannya. Akan tetapi, tuan rumah tersebut mempelawanya supaya terus menetap di situ bersama mereka dan berkahwin dengan anak gadisnya. Pemuda itu kemudiannya terus bersetuju.

Selepas setahun, pemuda itu diberi keizinan untuk melawat keluarganya di alam manusia untuk tempoh singkat dan dia kembali bersama isteri dan anaknya. Dia bagaimanapun tinggal di alam manusia melebihi tempoh yang ditetapkan menyebabkan dia diberi pilihan oleh mertuanya sama ada ingin terus tinggal di alam manusia atau di alam bunian. Pemuda itu, kemudian memilih untuk tinggal bersama isteri dan anaknya di alam bunian.

Kisah lain pula dikatakan berlaku ketika jemaah haji menggunakan kapal laut untuk ke Mekah. Ketika berada di atas kapal itu, tiga lelaki ditempatkan di dalam sebuah bilik dan mereka akhirnya menjadi kawan. Apabila kapal laut tiba di Malaysia dan mereka terpaksa berpisah, mereka bertukar-tukar alamat.

Beberapa lama kemudian, seorang daripada mereka yang tinggal di Kedah mengambil keputusan untuk melawat sahabatnya itu yang tinggal di Muar, Johor. Apabila tiba di Johor, lelaki tersebut menunjukkan alamat sahabatnya kepada pemandu teksi tetapi pemandu teksi berasa pelik kerana didapati lokasi kampung itu tidak pernah wujud.

Mereka tetap menuju ke kawasan berkenaan dan lelaki itu turun juga di kawasan itu walaupun didapati tiada kawasan kampung di sekelilingnya. Ketika merayau-rayau di kawasan tersebut, tidak lama kemudian barulah dia melihat satu perkampungan dan berjaya menemui rumah sahabatnya. Ketika dia duduk di tangga rumah sahabatnya, dia ditolak dan terjatuh. Sebaik tubuhnya menghempap tanah, dilihatnya kawasan kampung sebentar tadi wujud didapati ghaib. Apa yang ada dihadapannya hanyalah semak belukar.

Satu lagi kisah membabitkan orang bunian diceritakan berlaku kepada seorang gadis yang dipaksa berkahwin dengan lelaki bunian. Gadis itu menceritakan bahawa lelaki bunian itu pada mulanya datang menemuinya dan mengugut supaya berkahwin dengan lelaki itu atau dia akan mengalami penyakit misteri.

Dia bagaimanapun enggan menurut kehendak lelaki bunian itu menyebabkan dia mengalami sakit misteri selama beberapa lama. Selepas tidak tahan lagi menanggung sengsara, dia akhirnya bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki bunian tersebut.

Gadis itu pernah memohon bantuan perubatan bagi meleraikan perkahwinannya dengan lelaki bunian terbabit kerana ia adalah di luar batasan manusia tetapi akhirnya terpaksa membatalkan hasrat itu selepas diugut suami buniannya. Sehingga kini, tiada siapa mengetahui nasib wanita itu.

Teori dan Penemuan

Walaupun kewujudannya tidak ditakrif dalam Al Quran, terdapat pengkaji yang mengakui bunian sememangnya wujud sebagai satu daripada keajaiban Allah SWT, sama seperti kejadian anak kembar dan sebagainya. Terdapat tiga teori yang dikemukakan pengkaji mengenai asal usul kewujudan orang bunian. Namun, tiada bukti sahih daripada Al Quran, hadis dan pendapat pada sarjana Islam. Semuanya hanyalah teori-teori yang tiada asas. Antaranya, masyarakat bunian dikatakan wujud apabila berlakunya perkahwinan antara manusia dan jin. Anak yang terhasil daripada perkahwinan inilah yang dipercayai sebagai orang bunian. Malah, persoalan perkahwinan antara jin dan manusia didapati turut dibincangkan dalam hukum syariat Islam.

Selain itu, teori lain mengatakan orang bunian pada asal usulnya adalah golongan manusia beriman yang taat kepada perintah Allah SWT. Walaubagaimanapun, mereka kemudiannya melakukan satu dosa. Selepas menyedari kekhilafan mereka, golongan berkenaan berdoa supaya Allah SWT melenyapkan diri mereka daripada dilihat manusia lain lantaran terlalu malu dengan dosa yang telah mereka lakukan.

Sesetengah pengkaji mengatakan kejadian itu berlaku pada zaman nabi-nabi terdahulu iaitu sebelum zaman Rasulullah SAW tetapi sesetengah pihak lagi percaya ia berlaku pada zaman sahabat.

Manakala, teori ketiga pula, mengatakan bahawa bunian adalah termasuk dalam golongan makhluk halus. Hadis Nabi Muhammad SAW turut menyebut bahawa ada makhluk halus ini yang suka tinggal bersama manusia dalam rumah manusia. Malah, mereka sukar mencari tempat yang tidak berjauhan dari perkampungan manusia. Golongan bunian ini disebut Rasulullah SAW sebagai ‘aamir atau ummar’.

Pengkaji orang bunian dan beberapa pihak yang mengaku pernah melihat dunia makhluk bunian merumuskan bahawa rupa orang bunian adalah sama seperti manusia malah, corak kehidupan masyarakat bunian sama juga seperti masyarakat manusia. Apa yang membezakan mereka dengan manusia adalah manusia tidak dapat melihat jasad mereka dan alam kehidupan mereka walaupun mereka sebenarnya berada di dunia yang sama dengan manusia. Masyarakat bunian juga memiliki budaya yang hampir sama dengan manusia termasuk bermain kompang, berzanji dan turut hidup bermasyarakat.

Penempatan orang bunian juga dikatakan sama dengan manusia dan mereka turut membina rumah dan sebagainya. Seperti juga manusia, masyarakat bunian turut melakukan amal ibadat selain mengerjakan haji di Makkah. Namun demikian, manusia tidak dapat melihat orang bunian yang mungkin sedang berada di sebelah kita tetapi makhluk itu dapat melihat kita, manusia.

Pengkaji berpendapat bahawa manusia tidak dapat melihat orang bunian kerana jasad mereka hanya memiliki unsur angin dan api, sama seperti jin. Manakala jasad manusia pula bersifat pejal kerana memiliki empat unsur iaitu api, angin, tanah dan air.

Teori perkahwinan manusia dan jin turut berpendapat bahawa orang bunian memiliki persamaan jasad dan kehidupan seperti manusia kerana mewarisi keturunan manusia tetapi jasad dan alam mereka tidak dapat dilihat kerana mewarisi keturunan Jin.

Walaubagaimanapun, pengkaji berpendapat bahawa terdapat kes-kes tertentu yang membolehkan manusia melihat dunia orang bunian dengan izin Allah SWT iaitu apabila orang bunian itu ‘menumpang’ di dalam badannya tanpa disedari, orang bunian itu mempelajari ilmu yang membolehkan mereka menjelmakan diri untuk dilihat manusia selain manusia itu mempelajari ilmu tertentu untuk melihat ke alam bunian.

sumber: sejagat raya

megachannelz