pakej lawatan ke masjidil aqsa

Lawatan ke Masjidil Aqsa? Fikirkan

Semakin banyak pakej lawatan ke Masjid al-Aqsa ditawarkan. Kini agensi seperti Tabung Haji pun sudah mula mempromosi lawatan ke masjid ke-3 termulia dalam Islam itu.

Ia sedikit menghairankan.

Kenapa?

Tahukah anda bahawa Masjid al-Aqsa berada dalam wilayah Baitul Makdis (Jerusalem)?

Dan tahukah anda bahawa Baitul Makdis telah berada di bawah pendudukan tentera Israel sejak Perang Arab-Israel 1967?

Masjid al-Aqsa telah dijajah sejak lebih 46 tahun yang lalu! Laluan keluar dan masuk kini berada di bawah kawalan dan penguasaan Israel. Pelbagai cara telah digunakan oleh Israel untuk menghalang rakyat Palestin memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa. Malah, Israel telah mengehadkan umur para pengunjung dan waktu yang dibolehkan untuk penduduk Palestin mengakses masjid ini.

Namun, dengan tidak semena-mena, Israel mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia yang pada pasportnya jelas tercetak:

“Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali…..

ISRAEL!!!”

Tidakkah anda merasa curiga? Mengapa ya?

Jawapannya mudah. Kerana kita datang sebagai pelancong!

Tahukah anda jalan masuk ke Baitul Makdis dan Masjid Al-Aqsa adalah melalui Jordan? Dan tahukah anda Jordan dibenarkan untuk memiliki keistimewaan ini hanya selepas ia mengiktiraf kewujudan negara haram Israel dan berdamai dengannya pada tahun 1994? Lalu apabila anda berkunjung ke Masjid Al-Aqsa anda secara tidak langsung telah mengiktiraf kewujudan negara haram Israel dan menyatakan kesediaan untuk berdamai dengannya!

Tahukah anda industri pelancongan di Baitul Makdis memberikan keuntungan kepada Israel sekurang-kurangnya 1 bilion US dollar setiap tahun? Dan jumlah ini semakin bertambah saban tahun. Dan ya, keuntungan ini tidak dikongsi walau sesen sekalipun dengan Pihak Berkuasa Palestin (Palestine Authority) tetapi digunakan untuk terus menjajah Palestin dan membiayai keperluan tentera Israel!

Dan yang lebih penting lagi ialah pemergian kita ke sana adalah sebahagian daripada proses NORMALISASI yang cuba dimainkan oleh Israel. Israel berusaha untuk menyatakan kepada pelancong yang hadir bahawa tiada kezaliman dan penderitaan di sana. Israel ingin memperbaiki imejnya di mata dunia dengan menggalakkan kunjungan ramai ‘pelancong’.

Dengan kata lain, asal sahaja anda berkunjung ke Masjid al-Aqsa sebagai pelancong, Israel tidak punya masalah dengan anda. Malah mereka meraikan. Tetapi jika anda datang sebagai pejuang atau aktivis, usah bermimpi anda akan dapat masuk ke sana.

Israel mempunyai perancangan yang licik. Mereka berjaya mengaburi pandangan kita dengan menjadikan tindakan kita yang salah seakan-akan benar dan tiada masalah. Kita tertipu bahawa kunjungan kita ke Masjid al-Aqsa dengan niat untuk mengimarahkan masjid ketiga termulia dalam Islam itu dan merebut pahala menjejakkan kaki ke sana sebagai salah satu langkah membebaskan Masjid al-Aqsa daripada penjajahan Israel.

Jika seribu kali pun anda berfikir…

Jika seribu kali pun anda berfikir, anda tidak boleh melawan kekuatan ketenteraan dan politik Israel dengan melakukan rombongan melawat dan mengimarahkan Masjid al-Aqsa. Akhirnya, apa yang berlaku ialah anda sekadar memenuhi kehendak dan kepuasan peribadi untuk menatap masjid tersebut dan menyimpan memorinya dalam kamera dan video; tidak lebih dari itu. Ia umpama orang yang tidak pernah puas merebut pahala dengan melakukan ibadah haji dan umrah berkali-kali sedang masih ramai jiran-jirannya yang hidup melarat kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Justeru, berfikirlah dengan lebih mendalam sebelum anda berniat untuk menyertai pakej-pakej lawatan ke Masjid al-Aqsa. Dalam tidak sedar, anda sebenarnya telah tertipu dan telah membayar harga yang mahal demi sebuah kepuasan peribadi.

Namun begitu,

jika anda ingin pergi dengan MISI yang jelas untuk membebaskannya (ie. berjihad) atau anda ingin mengutip mutiara-mutiara hikmah di sana dan pulang dengan semangat yang tinggi untuk merancang STRATEGI membebaskannya, maka pergilah dan usah bertangguh walau sesaat sekalipun! Jangan sekali-kali anda biarkan pemergian itu sia-sia dan tinggal sekadar ‘imarah’ sahaja. Anda perlu sedar bahawa kunjungan anda itu mahal harganya (material dan moral).

Jika tidak, saya sarankan supaya anda menyalurkan wang anda kepada saluran yang benar-benar dapat membantu membebaskan Palestin.

Berfikir selangkah kehadapan,
agar tidak terus ditipu amal peribadi,
sedang umat menderita,
musuh tertawa,
dan kemenangan terpaksa ditunda,
untuk kesekian-kalinya.

Kebelakangan ini, banyak pakej lawatan ke tanah suci Baitul Makdis dianjurkan oleh pelbagai pihak. Lawatan-lawatan ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan melambangkan kecintaan umat Islam kepada Baitul Makdis terutama Masjidil Aqsa; kiblat pertama umat Islam dan tempat singgah Nabi Muhamad s.a.w. dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Namun, perkembangan mendadak tawaran lawatan ke Baitul Makdis ini jika dilihat dari sudut yang lain, akan timbul beberapa persoalan yang menuntut kepada renungan dan pertimbangan yang lebih mendalam.

Keghairan umat Islam untuk menziarahi Masjidil Aqsa adalah di alu-alukan, namun masih ada beberapa pertimbangan lain yang perlu diambil kira.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia telah menegaskan agar umat Islam yang berasal luar dari Palestin dilarang daripada menziarahi Masjidil Aqsa. Timbul persoalan, kenapa ulama tersohor ini menghalang umat Islam dari luar Palestin menziarahi masjid yang mulia ini?

Dewasa ini, keselamatan Masjidil Aqsa yang sudah lebih dari empat dekad berada di bawah pendudukan Zionis Israel semakin terancam. Al-Qardhawi antara tokoh yang sangat peka tentang isu Palestin dan telah mula memperjuangkan isu ini sejak remaja lagi terlibat secara aktif menyuarakan kebimbangannya terhadap Masjidil Aqsa melalui khutbah, penulisan dan mengeluarkan fatwa tentang hukum berkaitan
Israel termasuklah isu mengiktiraf Israel, berdamai dengan Israel dan amaliah ishtihadiyah (serangan berani melawan Zionis sehingga syahid).

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan beranggapan itu hanyalah pandangan peribadi beliau sedangkan masih ada lagi pandangan ulama lain yang membenarkannya. Jadi, untuk lebih adil, mari kita lihat hujah-hujah yang membenarkan dan juga mengharamkan umat Islam dari menziarahi Masjidil Aqsa dan anda boleh membuat penilaian sendiri.

Dari sudut sejarah, Perjanjian damai di antara Jordan dan Israel pada 26 November 1994, yang didahului dengan Deklarasi Washington yang diputuskan pada 25 Julai tahun yang sama adalah poin penting ‘menghalalkan’ lawatan ke Baitul Makdis. Apakah yang dipersetujui di antara Jordan dan Israel melalui perjanjian ini? Sebagaimana namanya perjanjian damai, maka, berakhirlah permusuhan di antara kedua negara dan sehingga kini menjalin hubungan diplomasi sebagaimana mana-mana negara yang berdaulat.

Sebanyak 38 perkara disepakati dan persetujuan utama
adalah berkaitan sempadan, ‘normalization’ (mewujudkan keadaan aman), keselamatan dan pertahanan, isu air, kedudukan Baitul Makdis dan isu pelarian Palestin.

Sejak dari termaktubnya perjanjian damai ini, maka,
beberapa laluan keluar masuk dibina yang memungkinkan rakyat Jordan dan Israel menyeberang masuk ke Jordan mahupun ‘Israel’ untuk tujuan perlancongan, perdangangan dan urusan-urusan lain.

Perdagangan di antara kedua negara ini juga berjalan
tanpa banyak sekatan. Segala perkara yang boleh menimbulkan permusuhan di antara kedua negara akan dibanteras.

Implikasi dari perjanjian damai ini cukup besar kerana
sukatan pelajaran di sekolah-sekolah perlu diubah supaya tidak mengandungi apa-apa isi kandungan yang dilihat anti Israel atau menyentuh tentang kaum Yahudi (ini termasuklah ayat-ayat Quran dan hadis perlu ditapis
supaya tidak menimbulkan keresahan bangsa Yahudi/Zionis Israel).

Pelancong dari luar termasuk dari Malaysia yang hendak
menziarahi Baitul Makdis pula hanya boleh masuk melalui Tebing Barat yang bersempadan dengan Jordan. Tebing Barat sudah diduduki oleh Israel pada tahun 1967 dan menjadi sebahagian dari wilayah Palestin yang dijajah.

Apabila perjanjian damai di antara Jordan dan Israel dimeterai, maka, urusan kemasukan ke Baitul Makdis melalui Tebing barat adalah tertakluk kepada peruntukan lawatan ke Israel dari Jordan. Oleh kerana passport Malaysia tidak membenarkan rakyat Malaysia dari memasuki Israel atas alasan tiada hubungan diplomatik di antara kedua negara, maka, masalah ini diatasi melalui hubungan diplomatik yang wujud di antara Jordan dan Israel. Dalam ertikata lain, Deklarasi Washington dan Perjanjian Damai Jordan-Isreal
yang dimeterai telah ‘menghalalkan’ rakyat Malaysia
khususnya untuk memasuki Baitul Makdis dalam rangka
ziarah ke Masjidil Aqsa, dalam masa yang sama boleh kita katakan telah menghalalkan perdamaian dengan Israel.

Kembali kepada soal hukum, apakah hukumnya berdamai dengan Israel?

Ulama sepakat mengatakan hukum berdamai dengan Israel adalah haram. Pendapat ini adalah jumhur iaitu meliputi kebanyakan ulama yang muktabar dan ikhlas. Hukum berdamai dengan Israel ini telah diputuskan sejak tahun 1935 lagi di dalam muzakarah ulama sedunia di Baitul Makdis. Al-Haj Amin Husaini, mufti Palestin pada ketika itu telah memfatwakan dan disokong oleh 500 ulama dari seluruh dunia haram wujudnya sebarang hubungan di antara umat Islam dengan zionis Israel yang cuba merampas negara Palestin.

Kini, mereka telah berjaya merampas negara Palestin dan hukum haram mempunyai hubungan dengan zionis Israel semakin dipertegas. Dalam ertikata lain, hubungan damai yang wujud di antara Mesir dan Israel pada tahun 1979 dan seterusnya hubungan damai di antara Jordan dan Israel pada 1994 sudah jelas kedudukannya dari segi syarak iaitu haram dan tidak ada pertikaian tentangnya.

Persoalan di dalam isu yang dibangkitkan ialah apakah hukumnya orang yang mendapat manfaat daripada perjanjian damai di antara Jordan dan Israel iaitu dapat memasuki Baitul Makdis sedangkan perjanjian damai yang wujud itu tidak diiktiraf oleh syarak? Bukankah lebih pantas umat Islam menghormati kedudukan syariat dan memprotes hubungan damai yang diwujudkan di atara umat Islam dan musuhnya? Sebaliknya umat islam tidak peka dan mengambil peluang pula atas hubungan yang wujud di antara kedua negara yang jelas haram hukumnya. Jika hubungan itu sendiri haram, maka, apakah hukumnya mengambil manfaat dari hubungan tersebut?

***

Fatwa Ulama al-Muslimin fi Tahrim at-Tanazul’an Ayyi Juz’in min Filisthin au’an Haqqil Audah Ilaiha (1935)

“Setelah melalui perbahasan dan kajian mendalam seputar masalah yang muncuk akibat penjualan tanah di negeri Palestin kepada Yahudi, iaitu mendorong terwujudnya tujuan-tujuan jahat kaum Yahudi serta gerakan Yahudisasi negeri Islam dan simbol-simbolnya, mengusir kaum muslimin dari tanah air mereka, menghancurkan peninggalan-peninggalan Islam dengan menghancurkan masijd-masjid dan tempat-tempat suci kaum muslimin,

Maka dari itu, berdasarkan semua sebab dan akibat yang telah disebut di atas bahawa setiap orang yang menjual tanah di negeri Palestin kepada Yahudi, baik secara langsung mahupun melalui perantara, dan juga setiap perantara yang mendukung dalam meluluskan proses jual beli tersebut dalam bentuk apa pun yang telah mengetahui kesan yang akan muncul sepertimana yang dipaparkan di atas,

maka semua orang tersebut tidak boleh dikuburkan di kuburan kaum muslimin. Selain itu, wajib hukumnya untuk mengusir dan melakukan boikot terhadap mereka serta mengutuk perbuatan mereka dan tidak bolehkan untuk mengasihi dan berteman dengan mereka meskipun dia adalah ayah, anak saudara, atau suami atau isteri. Membiarkan terjadinya perilaku tersebut serta meredhainya merupakan perkara yang diharamkan secara qath’i (tegas, tetap)”

***
Pendirian kami terhadap isu ‘melawat’ Masjid Al-Aqsa

Sungguhpun Masjil Al-Aqsa mempunyai status yang sangat istimewa kepada umat Islam, melawatnya pada hari ini membawa maksud yang bertentangan dengan semangat perjuangan membebaskan masjid ini daripada penjajahan rejim Israel.

Polisi Israel jelas menunjukkan bahawa mereka hanya membenarkan rombongan melawat Masjidil yang menguntungkan mereka sahaja. Lawatan ke masjid ini menguntungkan Israel melalui (i) pengiktirafan kuasa politik Israel ke atas Masjid Al-Aqsa (ii) manfaat ekonomi untuk industri pelancongan mereka, dan (iii) pendoktrinan pelancong melalui naratif sejarah yang berpihak kepada Israel.

Sebaliknya, mana-mana lawatan yang membawa ancaman kepada survival Israel akan dihalang. Sebagai contoh, usaha aktivis ‘Flytilla’, kempen ‘Welcome to Palestine’, yang dianjurkan aktivis di Tebing Barat bersama aktivis antarabangsa pada tahun 2011 dan 2012 untuk masuk ke Palestin melalui laluan udara dan mendarat di lapangan terbang Tel Aviv telah dihalang. Ingatkan juga peristiwa ‘Mavi Marmara’, di mana rakyat Malaysia juga bersama dalam bantuan kemanusiaan antarabangsa itu pada tahun 2010 melalui jalan air juga telah dihalang. Jelas Israel akan bersikap lunak kepada mereka yang ingin melawat Al-Aqsa secara aman tetapi menangkap atau menahan para aktivis yang cuba merancang demonstrasi aman di sana.

Inilah yang disebut sebagai normalisasi kepada pendudukan Israel di Baitul Makdis. Bagaimana mungkin wilayah yang sedang bergolak mampu menyambut pelancong? Cuba kita fikir-fikirkan.

Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi,
Aqsa Syarif.

 

megachannelz