mh370

 

Serpihan yang dijumpai di Maldives.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyangkal dakwaan sesebuah pihak yang mengatakan penemuan beberapa serpihan di Pulau Reunion, Lautan Hindi dua minggu lalu bukanlah milik pesawat MH370.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, penemuan flaperon di pulau tersebut telah disahkan sendiri oleh pasukan penyiasat yang melakukan siasatan di Toulouse, Perancis.

“Dakwaan itu tidak betul. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah membuat pengumuman mengenai hal ini kerana pasukan penyiasat kita di sana sudah mengesahkan bahawa ianya milik pesawat berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan ulangtahun ke-130 Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di ibu pejabat syarikat itu di sini, hari ini.

Menurut beliau, modifikasi serta cat pada flaperon yang ditemui adalah sama seperti yang dicatatkan dalam sistem milik Malaysia Airlines (MAS).

“(Selepas siasatan dijalankan), pasukan itu sudah membuat pengesahan kepada pihak MAS bahawa flaperon itu milik MH370. Jadi, perkara ini tidak boleh dipertikaikan lagi,” katanya.

Baru-baru ini, tersebar berita di media sosial bahawa penemuan beberapa serpihan objek di Pulau Reunion bukanlah MH370.

Seorang pemilik Facebook yang menggunakan nama Mohd Roshdi Hassan memberikan beberapa sebab mengapa flaperon yang ditemui itu bukanlah milik pesawat itu.

Dalam perkembangan lain, Aziz berkata, kerajaan akan menghantar sebuah pasukan penyiasat ke Maldives susulan penemuan beberapa serpihan objek dipercayai milik MH370.

“Kita akan menghantar satu pasukan ke sana (Maldives) yang diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada malam ini (semalam) dan kita akan bertemu dengan pihak berkuasa di sana,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan membawa pulang serpihan objek yang ditemui itu ke negara ini untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Serpihan yang ditemui di Maldives telah dijumpai kira-kira sebulan yang lalu selepas penemuan flaperon dan ia mungkin ada kena mengena dengan MH370.

“Dengan persefahaman dengan pihak kerajaan Malaysia dengan Maldives, serpihan ini yang dijumpai di Maldives akan dibawa balik ke negara ini,” katanya.

megachannelz