TIMUR KE BARAT

timur barat 1

Projek Lebuhraya Timur Barat melibatkan pembinaan jalanraya berturap dua hala sepanjang lebih kurang 75 batu (121 km) bagi menyambungkan Gerik di Negeri Perak dengan Jeli di Negeri Kelantan. Keperluan jalan raya ini telah ditimbulkan semenjak tahun 1940-an lagi, pada tahun 1950 dan 1958, beberapa kajian telah dibuat untuk menyambungkan pekan Gerik di Perak dan Batu Melintang di Kelantan namun tidak dapat dilaksanakan pada masa itu kerana perspektif keselamatan dan aspek ekonomi.

Pada tahun 1960an, Tun Razak telah mencetuskan agar keutamaan membina laluan lebuhraya ini disegerakan. Taklimat Projek telah disediakan oleh Yunit Perancang Ekonomi bertarikh 1 Febuari 1966 dan disusuli kajian kemungkinan oleh pihak Snowy Mountains Hydro Electric Authority pada bulan September 1963. Rekabentuk lebuhraya ini kemudiannya berjaya disiapkan oleh pakar rekabentuk Valentine, Laurie & Davies pada tahun 1970 dan kerja-kerja pembinaan sebenar bermula tahun 1971. Di peringkat awal pembinaan lebuhraya ini hanyalah melibatkan Kementerian Kerja Raya dan Kemudahan Awam sebagai agensi tunggal, namun selepas berlaku peristiwa sabotaj dan ugutan oleh pihak pengganas komunis, maka Urusetia Majlis Keselamatan Negara telah menyelaras usaha-usaha operasi keselamatan bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia didalam memastikan keselamatan jalanraya ini.

Kewujudan lebuhraya ini menjadikan perjalanan dari Kota Bharu ke Butterworth hanya 363 km berbanding melalui laluan Kuala Lumpur sejauh 1063 km. Ia menyumbang faktor perkembangan sosio ekonomi di antara penduduk Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung. Selain itu ia juga telah memberi kelemahan kepada ancaman penyusupan pengganas komunis kearah selatan semenanjung dan memudahkan operasi keselamatan dijalankan oleh pasukan keselamatan Negara. Keseluruhan projek ini telah menelan belanja sebanyak RM450 juta dan telah dibuka secara rasmi mulai 1Jan 1982.

PEMBINAAN LEBUHRAYA TIMUR BARAT
Laluan LRTB ini dibina merentasi satu kawasan bukit bukau dan tanah tinggi yang dianggap paling sukar dan mencabar di Malaysia. Ketinggian aras purata ialah 250 kaki sehingga 3,400 kaki dari aras laut menjadikan suhu laluan ini diantara 10 hingga 15 darjah celcius. Pembinaan jalanraya ini dilaksanakan oleh dua kumpulan kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu dari JKR Gerik di Perak dan JKR Jeli di Kelantan berkekuatan 60 pegawai dan 400 pekerja bagi setiap kumpulan. Kumpulan JKR Gerik telah membina pilot track sejauh 48 km manakala JKR Jeli sejauh 64 km, kedua-dua pilot track ini telah bercantum pada 2 Jul 1978. Kerja-kerja pilot track ini melibatkan anggaran 3.8 juta meter padu kerja tanah serta pembersihan kawasan kiri dan kanan laluan dengan menebang pokok dan sisa kayu sehingga bulan Jun 1979.

Kesemua pelaksanaan kerja utama laluan Lebuhraya Timur Barat (LRTB) dilaksanakan oleh pihak JKR melainkan kerja-kerja pembinaan jambatan, operasi kuari dan pemasangan ubin jalan (pavement) yang dilaksanakan secara kontrak oleh Malaysia Thai Development (MTD). Mengikut perancangan asal, laluan bahagian Jeli akan menggunakan asphaltic concrete manakala laluan bahagian Gerik menggunakan surface dressing, namun telah diubah menggunakan asphaltic concrete di keseluruhan laluan LRTB. Sebanyak 5 buah jambatan utama telah dibina di sepanjang laluan LRTB ini iaitu:

Jambatan Sungai Rui sepanjang 254 m (RM 3.62 juta)
Jambatan Crossway (Banding) sepanjang 877.9 m (RM 30.43 juta)
Jambatan Sungai Perak Reservoir sepanjang 636 m (RM 30.19 juta)
Jambatan Lower Pergau sepanjang 158 m (RM 5.1 juta)
Jambatan Upper Pergau sepanjang 158 m (RM 3.26 juta)

Pembinaan LRTB juga berhadapan dengan pelbagai rintangan seperti ancaman oleh PKM, keadaan muka bumi, penambahan kerja tanah kerana pertukaran jajaran laluan, gangguan lori balak, kekurangan pekerja mahir, keadaan jentera yang sedikit berusia, kawasan yang terpencil dimana menyukarkan proses bantuan perkhidmatan serta faktor cuaca dan hakisan tanah. Bagi memberi perlindungan keselamatan kepada pembinaan LRTB, jambatan dan kelengkapan pembinaan, sebanyak 4 buah kubu kawalan dan lampu keselamatan turut di bina dengan keseluruhan kos RM 35,000.00. Pembinaan LRTB ini selesai pada 1982 dan dibuka untuk laluan selama 12 jam mulai 1 Jan 1982.

timur barat 2

LEBUHRAYA TIMUR BARAT SEBAGAI ELEMEN KONSEP KESELAMATAN DAN PEMBANGUNAN (KESBAN)

Sebelum tahun 1986, Malaysia tidak menerbitkan sebarang dokumen berkaitan Dasar Pertahanan Negara (DPN), namun Rancangan Pertahanan Malaysia telah pun digubalkan pada tahun 1962 dan dikenali sebagai Plan Dynamo. Pihak Majlis Keselamatan Negara telah memperkenalkan doktrin keselamatan dan pembangunan (KESBAN) secara kolektif pada tahun 1970 yang berperanan menyelaraskan tindakan yang harus diambil oleh semua agensi kerajaan dalam semua aspek meliputi pembangunan ekonomi, politik, psikologi serta operasi ketenteraan.

Kawasan sempadan Malaysia-Thailand meliputi kawasan sempadan utara Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan dengan keluasan 5,755 batu persegi. Kawasan ini merupakan kawasan terancam oleh kegiatan subversif pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) akibat eksploitasi faktor kemunduran dan ketiadaan usaha pembangunan dan keselamatan yang bersepadu. Justeru, Kertas Kabinet mengenai KESBAN di kawasan perbatasan dan di sepanjang Lebuhraya Timur Barat (LRTB) telah disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara berdasarkan arahan Jemaah Menteri pada 5 September 1979 yang memperakui keperluan membangunkan kawasan ini sejajar dengan keperluan keselamatan dengan melibatkan rancangan bersepadu seperti keselamatan, gerak saraf dan pembangunan sosio ekonomi di seluruh kawasan sempadan sepanjang 358 batu sehingga 15 batu ke selatan dari garisan sempadan termasuklah laluan LRTB. Strategi serampang dua mata ini adalah berteraskan program keselamatan dan pembangunan dalam negeri bertujuan untuk mengatasi dan menewaskan segala tindakan pihak Parti Komunis Malaya (PKM).

Ancaman PKM melalui peperangan insurgensi berjaya ditewaskan oleh Negara, ketenteraan dan gabungan doktrin KESBAN. Strategi pertahanan yang menumpukan kepada kawasan padu diperluaskan dengan strategi Cegah Rintang, Pertahanan Hadapan dan Pertahanan Menyeluruh.

ANCAMAN PARTI KOMUNIS MALAYA DI LEBUHRAYA TIMUR BARAT

Ekoran Arahan 1 Jun 1968 yang dikeluarkan oleh JTAatankuasa Pusat Parti Komunis Malaya (PKM), unit-unit pengempur PKM bangkit semula bagi meneruskan pemberontakan bersenjata dengan melakukan aktiviti penyusupan dari Selatan Thailand ke Semenanjung Malaysia bagi menguasai kTAasan-kTAasan pendalaman.

Lembah Belum merupakan laluan penyusupan dan transit utama PKM, manakala jajaran Lebuhraya Timur Barat (LRTB) yang merentasi Banjaran Titiwangsa dijadikan paksi laluan utama PKM untuk melancarkan gerakan bersenjata. Senario ini memberi ancaman keselamatan kepada projek pembinaan LRTB dan Kompleks Empangan Janakuasa Elektrik Temenggor secara langsung. Dipercayai Rejimen Ke 12 diketuai CCM Ah Sek Sze menyusup menggunakan paksi LRTB untuk berhubung dengan Markas Rejimen Ke 10 di Kampung Hala, Betong, Thailand. Pada bulan Feb 1971, CCM Chong Chor dari Unit Penggempur Ke 5 telah menyusup ke Ayer Kala melalui laluan ini.

Beberapa tindakan agresif telah dilancarkan oleh Rejimen Ke 10 dan Rejimen Ke 12 ke atas LRTB dengan melakukan sabotaj terhadap 80 buah jentera pembinaan dan sebanyak 63 buah jentera berjaya dimusnahkan dengan kerugian mencecah hampir RM10 juta pada 23 Mei 1974. Serangan secara mengejut dan lari (probing) keatas penempatan Pos LRTB serta pekerja pembinaan LRTB turut dilakukan PKM. Pada 27 Ogos 1974 satu serang hendap keatas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 2, Banun mengakibatkan 3 pekerja JKR terkorban. Serangan keatas konvoi trak JKR pada 15 Mac 1981 di Batu 16 ½ pula mengakibatkan 6 pekerja JKR cedera. Beberapa siri serangan keatas Pos LRTB turut dilancarkan oleh PKM, antaranya serangan PKM keatas Pos 30, Batu 20 LRTB pada 12 Nov 1981 yang mengorbankan seorang anggota Batalion 302 Inf (TA), Allahyarham LKpl Zulkifli bin Othman menerusi pertempuran selama 30 minit pada jam 1930.

OPERASI KOTA
Bagi membenteras aktiviti Parti Komunis Malaya (PKM), Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mengetuai unit-unit pasukan keselamatan telah diatur gerak dalam pelbagai operasi. Bagi menyekat penyusupan PKM misalnya, Operasi KOTA telah dilancarkan pada 1968 bertujuan mengawasi sempadan dari dibolosi anasir PKM. Operasi ini meliputi semua kawasan perbatasan dari Perlis sehingga ke Kelantan yang terbahagi kepada 6 sektor meliputi Perlis, Kedah dan Perak manakala 2 sektor di sebelah timur meliputi Kelantan. Keseluruhan sektor operasi ini diletakkan dibawah kawalan Markas Divisyen Kedua Infantri bagi memudah pemerintahan dan pengawalan operasi.

Keseluruhan laluan Lebuhraya Timur Barat (LRTB) ini terletak dalam sektor Foxtrot dan melibatkan paras kekuatan sejumlah 8 batalion infantri tetap, 4 batalion infantri AW, 4 Skuadron Armor, 5 bateri Artileri dan 2 batalion Pasukan Polis Hutan (PPH). Selepas tahun 1983, kekuatan battalion infantri tetap telah dikurangkan kepada 5 batalion sahaja manakala yang lain dikekalkan. Terdapat juga beberapa operasi khas seperti Operasi TEDUNG, Operasi BANDING dan Operasi GUBIR yang dilaksanakan oleh batalion infantri tetap bagi mengesan dan memusnahkan pengganas komunis. Batalion infantri AW pula ditugaskan untuk Operasi PAGAR II dan menjaga keselamatan Empangan Temenggor dan LRTB melalui penempatan pos-pos yang ditetapkan. Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui PPH pula ditugaskan bagi pelaksanaan Operasi PAGAR I, Operasi PAGAR III dan Operasi UKUR.

Secara ringkasnya Operasi KOTA telah berjaya menghalang kemasukan semula unit-unit penggempur PKM secara besar-besaran ke Semenanjung Malaysia. Ini memaksa PKM menyusup dalam kumpulan yang kecil dan hanya mampu melakukan serangan ke atas kedudukan pasukan keselamatan yang terpencil.

PENUBUHAN BATALION LEBUH RAYA (AW)
Ekoran aktiviti serangan dan sabotaj oleh Parti Komunis Malaya (PKM) keatas pembinaan lebuhraya Timur Barat (LRTB), kerajaan memutus menghentikan sementara bagi merangka perancangan keselamatan agar pelaksanaan LRTB tidak terus terganggu. Di peringkat awal, pasukan kerahan tenaga di kenali sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) yang terdiri dari penyertaan sukarela Home Guard dan beberapa batalion Malaysian Teritorrial Army (MTA). Sebanyak 49 platun PPT telah diaturgerakkan ke pos-pos statik LRTB bermula dari Grik sehinggalah ke Batu Melintang seperti berikut:

Kelantan. Sebanyak 22 Platun PPT Lebuhraya (Dikenali sebagai PPT Kelantan) ditempatkan di pos statik bermula dari Jeli, Kelantan sehingga sempadan Perak-Kelantan. Pusat pemerintahan dan pentadbiran PPT ini ditempatkan di Kem Batu Melintang, Jeli, Kelantan.

Perak. Sebanyak 27 Platun PPT Lebuhraya (Dikenali sebagai PPT Perak) dan diaturgerakkan ke pos-pos statik bermula dari Grik, Perak sehingga sempadan Perak-Kelantan. Pusat pemerintahan dan pentadbiran PPT ini ditempatkan di Kem Grik Perak.

Kewujudan PPT ini terus diperkembangkan dan pada 1 Jun 1979, dengan kuasa penubuhan FED (M)/4140/79(AW), Batalion Infantri Siri 300 (AW) ini berfungsi sebagai Batalion Lebuh Raya iaitu Bn 301 Inf (AW) di Kem Batu Sebelas, Tanah Merah Kelantan, Bn 302 Inf (AW) di Kem Batu Melintang, Jeli Kelantan, Bn 303 Inf (AW) di Kem Temenggor, Grik Perak dan Bn 304 Inf (AW) di Kem Banding, Grik Perak. Tidak dapat disangkalkan kewujudan LRTB adalah amat sinonim dengan adanya pasukan Siri 300 (AW) kerana ia saling melengkapi kerana pengorbanan mereka dalam memberi perlindungan kepada usaha pembinaan LRTB adalah suatu yang tidak ternilai dalam konteks KESBAN dan mencapai visi HANRUH. Pada tahun 2008, kesemua 5 batalion ini telah ditukar designasi kepada Rejimen Sempadan (RS) dan menjadi salah satu elemen tempur kor infantri Tentera Darat.

timur barat 3

WIRA PANGLIMA GAGAH BERANI LEBUHRAYA TIMUR BARAT
Pada 15 Ogos 1977, jam 7.00 pagi (sehari sebelum Ramadan), 5 orang anggota Batalion Ke-11 Infantri Askar Wataniah telah bergerak dari Pos 8 ke Pos 5 bagi tugasan rondaan dan mengambil bekalan. Pada jam 9.50 pagi, mereka telah diserang hendap oleh 30 orang pengganas komunis dari 3 kedudukan berasingan secara serentak menyebabkan 2 anggota terkorban. Anggota yang terselamat telah membalas tembakan musuh sambil merangkak mencari perlindungan dan mendiamkan diri seketika. Pengganas komunis yang menyangka kesemua anggota Wataniah telah terkorban menyerbu ke bawah tebing untuk membuat pemeriksaan dan ingin merampas senjata.

Melihat semua rakan telah tercedera, Pbt Ielias bin Ibrahim berpura-pura mati. Ketika musuh sedang merapati untuk merampas senjata, Pbt Ielias dengan penuh berani dan bijaksana menembak musuh satu persatu. Tindakan ini telah berjaya menyelamat rakannya dan menyebabkan 3 pengganas komunis terbunuh. Pengganas komunis yang lain cuba membantu untuk bertindak balas tetapi terhenti kerana bantuan pasukan keselamatan telah tiba dan tembakan artileri dan mortar telah mula menghujani kedudukan pengganas komunis ini. Tiada pilihan kumpulan pengganas ini terpaksa melarikan diri dari lokasi serang hendap.

Tindakan Pbt Ielias ini juga telah berjaya menyelamat 2 rakannya yang tercedera iaitu LKpl Halim bin Hassan dan Pbt Ahmad Zaki bin Shamsudin @ Hj Hassan dan merampas 2 pucuk senjata M16 dan sepucuk senjata Carbine bersama beratus butir peluru. Di atas sifat keberaniannya, Pbt Ielias telah dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong pada tahun 1977 manakala LKpl Halim dianugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK). Semangat keperwiraan luar biasa mereka ini menjadi catatan sejarah kepada seluruh warga Wataniah, Pbt Ielias kemudiannya telah diserapkan sebagai anggota tetap kedalam Rejimen Renjer Diraja, beliau bersara pada 26 Okt 1989 dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1.

SUMBER : MUZIUM TENTERA DARAT…=WRA=

megachannelz