Peperangan di Gaza yang menjangkau tempoh sebulan akhirnya berhenti buat sementara tepat jam 8.00 pagi waktu Gaza semalam (5 Ogos) setelah gencatan senjata 72 jam dipersetujui oleh Hamas dan Israel. Namun mengenali sifat khianat dan mungkir janji pihak Yahudi Zionis, tiada siapa berani memberi jaminan gencatan senjata ini mampu bertahan selama tempoh tersebut.

Menilai dari pelbagai sudut, hanya satu pihak yang layak diisytiharkan sebagai pemenang peperangan yang dinamakan Hamas sebagai Perang Al-Asful Ma’kul (dedaun hancur berkecai yang dimakan ulat), dan pemenang tersebut tentunya bukan rejim Zionis Israel. Gencatan senjata yang dimeterai tidak lain sekadar jalan keluar terakhir Israel untuk berundur dari medan bertempuran dan menyelamatkan maruahnya yang semakin tercalar.

Berikut dinyatakan sekurang-kurangnya lapan sebab kenapa Palestin secara umumnya dan Hamas secara khususnya layak untuk dinobatkan sebagai pemenang Perang Al-Asful Ma’kul ini:
Pertama, Israel terpaksa menerima sekurang-kurangnya tiga syarat yang dituntut oleh Hamas sebelum Hamas sedia menerima gencatan senjata. Penerimaan Israel terhadap tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Hamas ini jelas membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang kalah.
Ismail Ridwan, salah seorang pegawai tertinggi Hamas seperti dilaporkan oleh media Gaza mengatakan bahawa Hamas telah mengajukan tiga syarat untuk mereka menerima gencatan senjata 72 jam. Syarat-syarat tersebut ialah tentera Israel perlu berundur secara total dari wilayah-wilayah yang diduduki mereka di sempadan Gaza, operasi jet-jet pejuang Israel di ruang udara Gaza dihentikan dan pintu sempadan Gaza dibuka untuk menyalurkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Kedua, Israel sama sekali gagal untuk mencapai misi mereka dalam peperangan kali ini untuk menggugat Hamas khususnya sayap ketenteraannya Briged Al-Qassam. Sumber Al-Qassam melaporkan jumlah anggota Al-Qassam yang terkorban syahid tidak sampai pun 100 orang. Daripada hampir 2 ribu penduduk Gaza yang terkorban pula, majoriti adalah di kalangan kanak-kanak, wanita dan orang awam. Tentera Israel juga gagal untuk mengesan lokasi pelancaran roket-roket Hamas apatah lagi memusnahkannya.
Ketiga, jumlah kematian di kalangan tentera dan polis Israel jauh melebihi bilangan anggota Al-Qassam yang terkorban. Menurut laporan terbaru, bilangan tentera Israel yang terbunuh adalah seramai 497 orang, manakala polis Israel yang terbunuh pula seramai 113 orang. Seramai 879 orang tentera Israel dilaporkan cedera dan polis Israel yang cedera pula seramai 362 orang.
Dengan teknologi ketenteraan yang lebih canggih dimiliki Israel, jumlah kematian yang jauh lebih tinggi ini adalah satu tamparan hebat buat mereka.
Keempat, keupayaan teknologi ketenteraan dan kebijaksanan strategi peperangan Hamas kali ini jauh di luar jangkaan tentera Israel sehingga menimbulkan kegerunan dahsyat kepada mereka. Serangan roket Al-Qassam dilaporkan telah sampai ke wilayah Israel yang sebelum ini tidak pernah berjaya dijangkau. Laporan Al-Qassam menyatakan mereka telah berjaya melancarkan roket jenis R160 ke wilayah Haifa yang jaraknya kira-kira 140 kilometer dari Gaza.
Antara strategi peperangan Al-Qassam yang menonjol kali ini ialah taktik penyamaran sebagai tentera Israel, penggunaan rangkaian terowong rahsia, perangkap samar, keupayaan untuk meletupkan kenderaan tentera musuh dengan alat kawalan jauh dan penggunaan pasukan komando marin. Al-Qassam juga telah berjaya mencipta sendiri senjata penembak tepat yang dinamakan “Ghoul” yang mampu mencapai jarak sejauh 2 kilometer.
Kelima, peperangan kali ini menyerlahkan kegagalan Iron Dome milik Israel yang selama ini didakwa sebagai sistem pertahanan ketenteraan tercanggih di dunia. Pihak tentera Israel sendiri mengakui dalam tempoh 24 jam tertentu sewaktu perang, Iron Dome mereka hanya mampu mematahkan 8 daripada hampir 120 roket yang dilancarkan oleh Al-Qassam. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama beberapa hari lepas terpaksa meluluskan bantuan kecemasan berjumlah $225 juta untuk meningkatkan lagi keupayaan Iron Dome.
Keenam, pihak Israel terpaksa menanggung kerugian yang amat teruk dari segi ekonomi. Serangan roket dari Gaza ke atas Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv menyebabkan sebahagian besar operasinya tergendala. Ekonomi Israel hampir lumpuh apabila pelbagai industrinya terjejas teruk termasuk industri pengilangan, penternakan, penerbangan, perhotelan dan pelancongan. Itu belum dikira kos besar untuk membiayai operasi ketenteraan mereka yang tidak memberikan pulangan sama sekali.
Ketujuh, pihak Israel juga terpaksa menelan kekalahan dari segi moral dan psikologi akibat peperangan terbaru ini. Bukan rahsia lagi bahawa ramai tentera Israel selama ini mengalami tekanan emosi, gangguan psikologi dan trauma akibat peperangan yang banyak membawa kepada kes bunuh diri. Kegagalan untuk mengalahkan Hamas kali ini pasti meningkatkan lagi tekanan terhadap mereka. Satu undian am di media Israel menunjukkan sebanyak 87% rakyat Israel bersetuju bahawa misi ketenteraan Israel ke atas Gaza ini adalah satu kegagalan.
Kelapan, keganasan terbaru Zionis Israel ke atas penduduk Gaza ini telah berhasil meningkatkan sokongan masyarakat global kepada Palestin. Demonstrasi demi demonstrasi, begitu juga kempen memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel berlangsung di seluruh dunia untuk membantah tindakan tidak berperikemanusiaan Israel. Ada juga di kalangan negara-negara yang mengambil tindakan seperti mengecam Israel sebagai pengganas, menghalau duta Israel keluar, memutuskan hubungan diplomatik dan membekukan aktiviti perdagangan dengan Israel.
Pelbagai sebab lagi boleh diutarakan untuk dijadikan hujah kenapa Hamas tanpa sebarang keraguan lagi layak untuk dinobatkan sebagai pemenang Perang Al-Asful Ma’kul ini. Semoga kekalahan memalukan buat Israel ini dapat melenyapkan keangkuhan mereka dan sekutu-sekutunya walaupun mungkin cuma untuk seketika ini.
Kita menyedari bahawa krisis di Gaza ini tidak akan selesai sehinggalah Israel dilenyapkan terus daripada peta dunia dan tanah Palestin diserahkan semula kepada pemiliknya yang berhak. Umat Islam di seluruh dunia dituntut untuk terus memberikan bantuan dan sokongan kepada Palestin terutama dalam usaha untuk memulihkan dan membangunkan semula Gaza ketika ini…
megachannelz